KALAM HIKMAH

Medan amal tiada sama dengan medan cakap. Namun sikap mereka (pemimpin) tiada mewakili sikap semua ahli kumpulan mereka (rakyat). Saya berpesan kepada semua sahabat agar berjiwa besar dan memahami bahawa sikap berkecil hati, marah, menjauhi adalah merugikan agama, rakyat dan negara.

Apa jua perselisihan ilmu, celaan, prasangka, bercanggah pendapat tiadalah boleh dijadikan sebab untuk kita berpecah dalam hal yang kita semua wajib memainkan peranan masing-masing.

Kuliah Ad Deen

Masa Itu Ibarat Pedang

Daisypath Anniversary tickers

Sunday, October 31, 2010

Kebimbangan Sebenar Di Sebalik Fakta - 1.9 juta Melayu Layak Mengundi Belum Mendaftar



Ulasan ke atas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan laporan
bertarikh 2 Julai 2010 yang disiarkan Berita Harian.

Persoalan mengapa ramai golongan belia termasuk belia Melayu tidak lagi mendaftar
sebagai pengundi jika dilihat secara kasar atau umum pastinya akan membawa kita
kepada beberapa faktor seperti berikut:

1. faktor infrastruktur (terpaksa beratur dan terpaksa menunggu lama);

2. faktor peribadi (sibuk bekerja, urusan keluarga); dan

3. faktor sistem pendaftaran.

Tiga faktor utama di atas merupakan antara alasan atau sebab utama yang diberikan oleh golongan berpotensi (responden utama) dalam satu kajian berkaitan ’Sikap Golongan Berpotensi Terhadap Pendaftaran Sebagai Pemilih Dan Penyertaan Dalam Proses Pilihan Raya’ yang dilakukan oleh sepasukan penyelidik dari Fakulti Pengurusan Dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di semua empat belas buah negeri di Malaysia (laporan ringkas kajian boleh dirujuk di laman web rasmi SPR).

Kajian tersebut melibatkan seramai 7000 responden yang terdiri daripada dua kategori golongan; golongan berpotensi seramai 6300 orang adalah terdiri daripada mereka yang layak mengundi diantara 22 hingga 40 tahun tetapi belum mendaftar sebagai pemilih (dari segi profil golongan berpotensi, paling ramai berusia 22 hingga 30 tahun, berkelulusan SPM, ijazah dan diploma, bekerja di sektor swasta dan tinggal di bandar); dan golongan kedua seramai 700 orang adalah terdiri daripada ahli politik, pemimpin masyarakat, kakitangan awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO’s), golongan intelektual dan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi.

Berbanding alasan atau faktor-faktor utama yang diberikan oleh golongan berpotensi (responden utama kajian), golongan kedua berpendapat golongan berpotensi tidak kisah dan tidak minat politik. Golongan berpotensi juga didapati mempunyai kesedaran yang rendah terhadap sistem pilihan raya terutama pada pengetahuan mereka. Bagi golongan kedua inilah punca mengapa ramai golongan berpotensi (belia) belum mendaftar sebagai pengundi meskipun layak.

Apapun alasan yang diberikan, namun perlu disedari bahawa fenomena yang berlaku tidak hanya memberi gambaran tentang keadaan atau perihal belia khususnya Melayu hari ini semata-mata, bahkan yang lebih penting dan utama untuk disedari adalah fenomena yang berlaku ini sebenarnya memberi gambaran tentang keadaan atau persekitaran politik Negara khususnya dari segi nilai dan praktisnya.

Fenomena yang berlaku perlu dilihat sebagai kesan atau akibat dari nilai dan praktis politik sempit yang mewarnai persekitaran politik Negara hari ini. Rata-rata bila ditanyakan kepada belia atau anak muda mengapa mereka tidak ambil kisah atau peduli tentang politik, maka antara jawapan yang diberikan; ‘orang politik ni sama jer, mana-mana pun sama’, ‘politik ni tak cool, kotor’, ‘takde masa, sibuk kerja’, ‘tak tau lah mana yang betul, pening!’, ‘takpe lah, biarlah orang politik buat kerja mereka’, ‘tak nak campur lah, apa boleh dapat’ dan macam-macam lagi. Jawapan-jawapan yang diberikan membawa kita kepada beberapa kesimpulan; antaranya adalah persekitaran politik Negara yang diwarnai nilai dan praktis politik sempit dan tampil hanya dalam rupa dan semangat ‘kepartian’ membentuk persepsi yang negatif di kalangan belia serta menghakis rasa ingin tahu dan minat belia terhadap politik.

Persepsi ini seterusnya diterjemahkan dengan tidak mendaftar sebagai pengundi; dengan disandarkan kepada pelbagai alasan dan faktor seperti faktor peribadi (sibuk bekerja) dan faktor teknikal yang lain. Tidak dinafikan faktor teknikal seperti sistem pendaftaran dan infrastruktur juga menyumbang kepada fenomena ini.

Kebijakan politik adalah penting bagi belia dan anak muda yang merupakan generasi pewaris dan pencorak masa depan Negara. Perlu disedari bahawa politik bukan hanya bersifat domestik atau lokal bahkan menjangkau percaturan di peringkat antarabangsa. Belia atau anak muda khususnya Melayu Islam yang bakal mewarisi kepimpinan Negara perlu memiliki kebijakan politik dalam mengurus Malaysia; baik dalam membawa kebaikan buat Agama, Rakyat dan Negara seluruhnya. Tanpa kebijakan politik untuk mendepani cabaran global dan penjajahan bentuk baru, maka kepentingan Agama, Rakyat dan Negara mungkin terus tidak terbela dan bisa tergadai.

Berdasarkan statistik (sehingga Mac 2010 lalu), seramai 1.9 juta atau 43 peratus daripada 4.3 juta pengundi yang layak mengundi, tetapi belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak Pilihan Raya Umum 2008 adalah orang Melayu. Mengikut statistik tersebut, bukan Melayu yang belum mendaftar adalah 1.7 juta dengan pecahan 1.3 juta atau 30.6 peratus daripada kaum Cina, diikuti India seramai 400,997 orang atau 9.3 peratus. Statistik ini perlu dinilai dan ditafsir sewajarnya dengan membandingkan pecahan peratusan ini dengan pecahan peratusan populasi Negara mengikut etnik. Hasilnya, kita akan dapati pecahan peratusan ini adalah sejajar dengan faktor populasi etnik.

Secara umumnya, statistik ini sepatutnya membimbangkan kita seluruhnya sebagai warga Malaysia kerana seramai 4.3 juta atau hampir 30 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia yang layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pengundi; sedang yang mendaftar pun tak sepenuhnya mengundi dalam menjalankan peranan dan hak sebagai rakyat. Berdasarkan statistik Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, peratusan keluar mengundi seluruh Negara adalah sekitar 70 peratus. Dan berdasarkan kenyataan Pengerusi SPR, kesedaran golongan belia khususnya Melayu tentang tanggungjawab ini masih rendah.

Melayu Islam adalah kelompok atau populasi terbesar dalam Negara, andai trend ini yang menggambarkan orang Melayu khususnya belia kurang kesedaran politik dari segi peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dan kuasa penentu politik paling dominan dalam Negara, maka masa depan Agama, Rakyat dan kestabilan Negara sebenarnya dalam bahaya kerana kuasa yang ada pada kelompok Melayu Islam tidak dapat diurus dan diguna dengan bijak. Melayu Islam pastinya terdedah kepada pelbagai helah politik yang dibina atas pelbagai slogan dan sentimen, justeru kebijakan politik yang berasaskan nilai universal Islam dan politik yang berteraskan maklumat (knowledge-based politic) dan bukan politik berteraskan emosi (emotional-based politic) amat perlu dijadikan pegangan, baik sebagai nilai juga praktis.

Sebagai contoh, cakap-cakap nakal yang menyatakan suara dan kuasa politik Melayu Islam kian terhakis pasca PRU-12 sedangkan realitinya Ahli Parlimen (AP) Melayu semakin bertambah pada PRU-12 (2008) berbanding PRU-11 (2004): Jumlah AP Melayu pada 2004 : 110 UMNO, 6 PBB, 6 PAS, 1 PKR = 123 orang. 56.16 % daripada kesemua 219 AP. Jumlah AP Melayu pada 2008: 78 UMNO , 9 PBB, 23 PAS, 23 PKR, 4 BEBAS = 130 orang. 58.56% daripada 222 AP. Angka tersebut menepis dakwaan bahawa PRU-12 (2008) menghakis suara dan kuasa politik Melayu. Dari sudut yang lain, kita tidak nafikan bahawa jumlah ‘angka’ masih tidak menjanjikan apa-apa secara pasti, namun dalam konteks politik pada hari ini, untuk lebih adil dalam menilai kita perlu menimbang faktor ‘angka’ ini bersama-sama dengan faktor kualiti dan keberkesanan peranan AP Melayu yang ada; penilaian berteraskan maklumat (knowledge-based judgement) dan bukan berteraskan emosi (emotional-based judgement) ini perlu diterapkan secara menyeluruh.

Justeru, andai kita benar-benar serius untuk mengubah fenomena ini (ramai yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi), sebagai langkah awal antaranya adalah baik jika sistem pendaftaran pengundi sedia ada diubah atau dimansuhkan; dengan maksud mengiktiraf hak mengundi secara automatik bagi seluruh warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas. Cadangan ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen pemerintah atau kerajaan dalam menangani isu ini, di samping mengurangkan perbelanjaan mengurus dan sebagainya. Penjimatan ini pula boleh disalurkan kepada usaha atau program pendidikan pengundi (voter education) yang lebih baik. Baru-baru ini, cadangan ini turut dibangkitkan di parlimen namun tidak mendapat reaksi positif dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM); cadangan dinafikan atas alasan yang tidak objektif dan tidak menyeluruh (rujuk laporan The Star bertarikh 26 Oktober 2010, ‘No automatic voter registration: Nazri’). Apapun, adalah menjadi harapan agar pihak SPR yang ditubuhkan sebagai sebuah suruhanjaya mungkin boleh menyemak kembali dan mempertimbangkan kembali cadangan ini.

Selain itu, badan-badan NGO boleh memainkan peranan dengan bersama-sama menjayakan kempen pendaftaran pengundi baru atau dalam konteks yang lebih menyeluruh; menjalankan program Pendidikan Pengundi (Voter Education) khususnya kepada kelompok sasar iaitu golongan belia, samada secara langsung atau tidak langsung. Contohnya pendaftaran dijalankan secara tidak langsung dalam aktiviti-aktiviti yang memang telah dirancang untuk kelompok sasar (sukan dan rekreasi, forum, khidmat masyarakat, klinik bergerak, kuliah ilmu, dan sebagainya); dengan dimasukkan sebagai program sampingan atau selari.

Tidak dinafikan bahawa perubahan teknikal melibatkan sistem pendaftaran juga infrastruktur seperti yang telah dibincangkan hanya menyelesaikan sebahagian dari permasalahan ini; justeru penyelesaian yang lebih menyeluruh dan mendasar iaitu dengan bersama-sama menjalankan usaha mencorakkan kembali dimensi politik Negara dengan membawa nilai dan praktis politik yang lebih baik, menyeluruh dan matang perlu diusahakan baik oleh ahli-ahli atau parti-parti politik, dan juga badan-badan NGO yang lebih dekat kepada Rakyat. Keadaan atau persekitaran politik Negara yang lebih matang ini nanti pastinya akan merubah persepsi negatif golongan belia terhadap politik, seterusnya melahirkan kesedaran dan membuahkan kebijakan politik yang diharapkan dalam mendepani cabaran masa depan.

Badan-badan NGO dilihat mampu berperanan dalam mencorakkan kembali persekitaran politik Negara ke arah yang lebih baik; antaranya dengan bersama-sama menjalankan usaha penjanaan semula ‘third force’ dalam Negara iaitu kuasa Rakyat. Rakyat perlu disedarkan akan hak dan peranan mereka dalam kerangka sistem yang ada dan diamalkan pada hari ini; disedarkan bahawa Rakyat merupakan entiti atau institusi terpenting kerana mereka adalah ‘raja’ atau ‘hakim’ dalam konteks demokrasi yang diamalkan. Inilah Politik Rakyat, dimensi baru yang perlu diwujudkan sebagai alternatif kepada dimensi politik kepartian yang ada pada hari ini.

Dalam usaha memperbaiki persekitaran politik Negara, aspek pendidikan politik perlu diberi perhatian oleh semua pihak; badan-badan NGO di setiap peringkat boleh memainkan peranan besar dalam menjayakan usaha ini. Rakyat khususnya golongan belia perlu dididik, bermula dengan adab dan seterusnya ilmu berkaitan politik dan negara. Sehinggalah ‘membuang undi’ disedari bukan semata-mata menunaikan peranan sebagai warganegara Malaysia tetapi adalah menunaikan tanggungjawab hubungan sesama insan.

Dalam konteks yang lebih luas, maka akhirnya belia atau Rakyat akan melihat politik dan berpolitik untuk membantu sesama insan agar kehidupan masyarakat di Negara ini benar-benar mendapat keadilan dalam ekonomi, sosial, perundangan, kebajikan, pendidikan, kebebasan, hubungan kaum dan lainnya yang merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

‘DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT, BERANI BERUBAH DAN MERUBAH’

Mohd Rizal Moideen

Presiden GESA

Politik Berteraskan Idea


Ucapan Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini amat menarik untuk di bahaskan. Ucapan Khairy Jamaluddin selaku ketua pemuda UMNO menuju isnpirasi politik masa hadapan. Politik yang berani menilai tindakan parti sendiri, bukan ‘pak turut’, politik merentasi sempadan perkauman dan tafsiran agama secara sempit, politik berteraskan ketajaman idea bukan kerakusan kuasa. Gesaan untuk gerakan politik berasaskan ‘perang idea’ bukan ugutan menggunakan kuasa dalah sesuatu yang di perlukan di masa kini.

Cadangan berani dari ketua pemuda ini, jika benar dapat di realisasikan, ia satu perkembangan sihat dalam poltik tanah air kita. Sesungguhnya idea begini yang di tunggu-tunggu. Akhirnya penantian berakhir dengan keberanian ketua pemuda melontarkan idea baru tersebut sambil tertanya boleh kah ia di laksanakan?

idea begini akan melahirkan pemimpin yang bijak dan rakyat yang matang. Mereka menilai sesuatu bukan dipengaruhi sentimen emosi dan kemarahan tetapi berdasarkan celik maklumat.

Menuju ke arah Negara maju, isu remah temeh tidak sepatutnya mejadi alat propaganda lagi, akhirnya memakan diri sendiri. Biar kita ambil contoh isu bukan muslim tidak boleh masuk masjid, tidak boleh berdoa untuk bukan muslim, isu wang judi, sentimen mengenang budi, penarikan subsidi, bantuan pilih kasih dan seumpamanya menjadikan parti tersebut kelihatan mengadaptasi cerita-cerita sempit dan tidak relevan.

Terus terang, rakyat sudah bosan dengan cerita begini. Bagi mereka yang tiada sumber maklumat lain, memang pihak lawan adalah pesalah tegar. Namun, bagi yang ada maklumat khususnya masyarakat Bandar, mereka melihat si pencetus isu tadi adalah orang tidak waras. Menegakkan benang basah sambil tidak mengambil pandangan dari pakar mejadikan isu-isu tersebut di mainkan dengan emosi dan kemarahan. Rakyat seolah di perbodohkan dengan cara menutup maklumat yang sebenar.

Politik adu domba dan menuding jari kepada peribadi lawan juga mesti di elakkan. Bukan sahaja menambah dosa malah tidak langsung mencermin watak pemimpin yang memberikan pandangan dan idea mantap untuk pembangunan rakyat dan Negara.

Maka, politik berteraskan idea wajar di popularkan. Keadilan dan kebebasan menerima maklumat antara langkah awal memakmurkan idea ini. Sidang media harus membebaskan diri mereka untuk terjun ke dalam dunia idea baru ini. Sejauh mana ia mampu di laksanakan? Tunggu dan lhat. Pada asasnya, lontaran idea begini suatu berita gembira. Syabas untuk ketua Pemuda.

Nukilan oleh,

Nurqaseh Ramadhan, IPTA tanah air

Penafian: Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi Gerak Massa Malaysia (GESA)