GERAK MASSA MALAYSIA
Malaysia kita, tanahair tercinta yang subur lagi kaya dengan pelbagai sumber ini adalah hak bersama Rakyat Malaysia, bukan hak eksklusif mana-mana golongan atau individu tertentu. Hak dan kedudukan sebagai Rakyat ini perlu difahami, disedari dan diperjuang bersama agar kita sebagai Rakyat benar-benar merdeka dan tidak lagi terus dijajah di bumi merdeka ini.
Negara kita telah merdeka lebih 53 tahun lamanya, namun adakah kita sebagai Rakyat juga telah merdeka? Atau jiwa, minda dan jasad kita masih dibelenggu? Mungkin penjajah British telah lama keluar dan bendera Union Jack tidak lagi berkibar megah di sini, namun 'semangat atau puaka' penjajahan seakan masih menghantui Rakyat, menjelma dalam wajah-wajah yang baru, yang lebih dekat dan hampir dengan kita. Sehingga merasa terlalu sukar dan terus takut untuk berubah dan merubah walau sedar masa depan diri, keluarga, generasi dan Agama juga Negara diperjudikan.
Mana hilangnya semangat juang, keberanian dan kesepakatan antara kita sebagai Rakyat, hingga suara kita tidak lagi padu dan menggugat, lalu terus mudah dibiarkan dan tidak dipedulikan? khazanah Negara terus dirompak dan maruahnya digadai? Hak kita dan generasi masa depan terus dicabul dan diperkosa? Terus diperhamba dan diperguna hingga akhirnya kita berseteru sesama kita, semakin lemah jadinya, sedang mereka golongan penjajah politik yang diberi kuasa terus bermaharajalela.. lupa amanah.. lupa diri bahawa mereka hanya pemegang dan pelaksana amanah yang kita sebagai Rakyat berikan.
Menginsafi situasi ini, maka Gerak Massa (GESA) ditubuhkan bagi membangkitkan kesedaran akan hak dan kuasa yang ada pada Rakyat, khususnya sebagai penentu kuasa politik dan halatuju pentadbiran Negara dalam ruang demokrasi yang ada.
GESA sebagai wadah seruan dari Rakyat kepada Rakyat yang merentasi segala perbezaan untuk sama-sama berubah dan merubah suasana politik Negara. Dewasa ini, perubahan dan anjakan Rakyat amat diperlukan antaranya bagi memposisikan kembali kuasa Rakyat dalam sistem demokrasi sebagai elemen kawalan/timbang-tara utama terhadap kepimpinan Negara (ahli/parti politik yang diberi mandat/amanah).
Dengan adanya kesedaran atau kebijakan politik di kalangan Rakyat; yang menjadi asas dan pemangkin kepada pembentukan sikap dan dimensi politik baru Negara yang lebih 'people-centric' dan tidak lagi 'party-centric'sifatnya, maka kepentingan Agama, Rakyat dan Negara akan lebih terbela dan terpelihara. Kesedaran ini juga merupakan asas kepada proses realisasi Kemerdekaan Rakyat dalam menggunakan hak dan kedudukannya serta melaksanakan peranannya demi kebaikan Agama dan Negara.
Untuk itu, kami menyeru kepada seluruh saudara SeMalaysia juga para pemimpin politik, mari bersama kita keluar dari dimensi politik perkauman olahan penjajah yang melemaskan dan tinggalkan praktis-praktis politik yang sempit, yang disulami dendam, kebencian dan permusuhan kepada dimensi Perpaduan Rakyat dan budaya politik alaf baru yang lebih segar, matang dan memberikan kebaikan kepada Agama, Rakyat dan Negara.
Ayuh bersama kita bangun membina kembali kuasa Rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia kita.
Mohd Rizal Bin Moideen
Presiden Gerak Massa Malaysia (GESA)
0139932644