Wahai anakku,
Berbicaralah mewakili suara hati rakyat, bukan suara hati parti-parti politik, jika suara pemimpin atau parti politik menempati suara hati rakyat, maka kita mendukungnya, namun dalam masa yang sama jangan terlalu terperangkap dengan keindahan bahasa golongan politik, memberi sokongan pada mereka jika berada dalam kebenaran,tetap menolak mereka jika berada pada kebatilan . Medan bicara tiada sama dengan medan amal, bicara begitu mudah kerana ia hanya di lidah, namun mengamalkan bicara bukan mudah kerana manusia memiliki nafsu, apabila diberi kuasa dan limpahan harta terbuka, sering mereka terlupa akan segala janji. Justeru itu kita tetap menjadi golongan yang memimpin suara hati rakyat dalam memastikan amal politik sama dengan bicara politik mereka.
Wahai anakku,
Kita bukannya badan mahu menentang mana-mana parti, tetapi kita hanya mahu kebaikan pada rakyat, kita hanya menentang sistem yang diwujudkan. Jika ianya adalah sistem yang membawa kesusahan pada rakyat, bercanggah dengan agama, maka kita akan menentang sistem tersebut bukannya menentang pada individu atau kumpulan. Jangan biarkan dirimu dikuasai nafsu dalam kemarahan dan jangan biarkan dirimu lemah dalam perjuangan. Parjuang wajib berteraskan kasih sayang terhadap semua golongan walaupun golongan yang batil sekalipun. Kita menyayangi golongan yang benar dengan menaikkan mereka memimpin Negara dan rakyat, kita menyayangi golongan yang batil dengan menghentikan mereka terus berdosa dalam memimpin Negara dan rakyat.
Wahai anakku,
Kita wujudkan GESA bukan atas sifat islam menghukum tetapi islam yang berasaskan jiwa tasawwuf, jiwa para ahli sufi yang penuh kelembutan, kasih sayang dan belas kasihan kepada semua makhluk Allah. Apa yang penting , segala gerak kerja kita adalah bermatlamatkan jihad dalam mencapai redha Allah . Kita berpegang pada dasar Al Quran dan Hadis melalui metode ulama ahlusunnah wal jamaah yang menjauhi sifat melampau dalam kemarahan dan menghukum, serta bersifat sederhana dan hikmah dalam segala hal. Elokkan akhlakmu dengan semua golongan dan jangan bersifat kasar pada sesiapa. Jasa kebaikan pemimpin walau dari mana golongan perlu dihargai walaupun ada kelemahan dan kesilapan , jangan berpolitik sampai hilang akhlak dan ruh islam lantaran terbawa-bawa dari kemarahan. Suluh dirimu setiap masa agar tiada tertipu dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan menyelinap dalam batinmu walaupun engkau melakukan kebaikan sekalipun.
Wahai anakku,
Jangan kamu gentar dan takut, pimpinlah perubahan rakyat jika perubahan boleh memberi kebaikkan, bukan kamu mendukung perubahan untuk menaikkan mana-mana parti politik ,tetapi untuk kebaikan agama , Negara dan rakyat. Parti adalah wasilah dalam kita menyampaikan kehendakan agama dan menzahirkan suara hati rakyat, bukannya parti sebagai matlamat kita. Kepada Allah kita bertawakal, Jejak Rasul kita ikuti. Jangan undur walau setapak dalam memperjuangkan kebenaran walau nyawa menjadi taruhan. Inilah jalan kemuliaan umat Nabi Muhammad saw, menegakkan maaruf dan mencegah kemungkaran. Kita tiada pilihan jika mahu masuk dalam kemuliaan menjadi umat Rasulullah SAW. Berjuang dan terus berjuang, berubah dan merubah.
Penasihat Gerak Masaa Malaysia(GESA)
Al Faqir Walid Ibrahim Mohamad
No comments:
Post a Comment