SUMBER: KULIAH ADDEENDaripada sumber yang dipercayai, Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu kini sedang membahagikan kawasan-kawasan balak antara 50 hingga 100 ekar kepada para Ketua Bahagian yang menyokongnya. Ini mungkin disebabkan petunjuk yang diperolehinya bahawa beliau tidak mungkin menjadi MB lagi pada penggal akan datang (selepas PRU-13).
Jika benar maklumat ini, ia merupakan satu lagi episod malang bagi rakyat Terengganu. Hak rakyat telah dijadikan sebagai hak kumpulan/kroni mereka. Golongan oportunis politik ini sememangnya sentiasa mencari peluang untuk mengaut kekayaan bagi memenuhi poket nafsu mereka. Inilah bahananya apabila majoriti rakyat tiada kesedaran politik dan tidak peka dengan apa yang berlaku.
SLOGAN KOSONG?
Allah berlaku adil pada rakyat ini. Bumi yang ramai para ulama dan auliya ini dikurniakan pelbagai kekayaan hasil buminya. Namun, apa yang rakyat perolehi? Walaupun menjadi negeri pengeluar minyak dan gas terkaya di negara ini, Terengganu masih mempunyai kadar kemiskinan tegar, miskin dan mudah miskin yang ketara.
Dalam sidang DUN Terengganu 8 April 2010, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Ashaari Idris berkata Terengganu masih ditangga kedua kategori rakyatnya mudah miskin. Manakala, kategori rakyat miskin juga masih kekal ditangga ketiga dan miskin tegar ditempat kelima. Ia berdasarkan kajian terbaru agensi terbabit.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk membaiki segala kepincangan dengan pelbagai perubahan yang dilakukan. Pada April 2009, Najib telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang antara tujuannya ialah untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat. Dalam masa yang sama enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditonjolkan, antaranya untuk membanteras rasuah (penyelewengan) dan mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah.
Malah dalam ucapan sulung selepas secara rasmi dilantik Perdana Menteri ke-6 tanggal 3 April 2009, beliau berikrar untuk melaksanakan satu transformasi besar untuk negara dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”
Namun untuk merubah manusia bukan senang. Mereka bukan enjin yang dapat dikawal hanya dengan memetik suisnya atau dibuang mana-mana komponen yang menganggu sistem.
Manusia mempunyai jiwa, akal dan nafsu yang sentiasa berbolak-balik dalam diri mereka. Syaitan pula sebagai musuh sentiasa mencari ruang untuk menyelinap dalam jiwa manusia bagi melencongkan mereka kepada kejahatan.
Nabi Nuh a.s siang dan malam selama 950 tahun berdakwah dan mentarbiyyah umatnya, namun hanya mampu menarik seramai 70 orang untuk mengikuti baginda a.s. Ini bukan bermakna dakwah Nabi Nuh a.s tiada berkesan, tetapi menunjukkan begitu keras sekali jiwa manusia untuk menerima seruan yang bertujuan mengubah kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi mereka sudah selesa dengan budaya tersebut dan tidak mahu membuka diri untuk mendengar seruan kebaikan.
Dengan ucapan berapi-api sekalipun di Perhimpunan Agung UMNO, ia tidak akan mampu mengubah sifat tamak haloba, penting diri, dengki, dendam dan takbur yang begitu tebal bersarang dalam jiwa para pemimpin dan ahlinya.
Syarahan para ulama yang mampu menggetarkan jiwa para pendengarnya, kadang kala hanya mampu memberi kesedaran untuk tempoh seminggu atau sebulan sahaja. Kemudian nafsu atau tabiat lama akan menguasai mereka kembali. Inikan pula syarahan ahli politik yang bergantung pada semangat dan retorik semata-mata, tentulah lebih sukar lagi.
PROSES TARBIYYAH AGAMA
Mentarbiyyah manusia memerlukan masa yang panjang. Walaupun disertakan kesabaran, keilmuan, kerohanian dan keikhlasan, namun ia bukan jaminan mereka yang dididik itu akan berubah dan dapat dibentuk seperti yang dimahukan. Malah kadangkala mereka yang ditarbiyyah itu boleh menjadi musuhnya disebabkan tidak tahan dengan proses tarbiyyah yang dilalui, terutama mereka yang kaya atau yang berilmu.
Justeru, ada di kalangan ulama sufi yang berijtihad bahawa untuk mengubah tabiat manusia dan membentuk mereka, ia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 40 hari. Ini berdasarkan proses kejadian manusia itu sendiri saat di dalam kandungan ibunya. Ia juga disandarkan kepada khalwah para Nabi-Nabi a.s yang mengambil masa 40 hari.
Jemaah Tabligh turut menjadikan 40 hari sebagai keutamaan dalam membentuk diri kepada kebaikan seperti istiqamah solat jemaah dan tahajud. Kalau di pondok atau madrasah, biasanya para pelajar yang baru masuk tidak dibenarkan pulang ke rumah sebelum mencapai tempoh 40 hari. Ini kerana mereka meyakini bahawa jika seorang itu dapat melakukan sesuatu secara istiqamah selama 40 hari, ia akan menjadi tabiat dalam kehidupannya di luar nanti.
Dalam konteks UMNO, untuk mentarbiyah kembali pemimpin dan ahlinya, tidak cukup sekadar ucapan yang berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung. Kesannya hanya sedikit dan bersifat sementara walaupun semangat mereka dilihat berkobar-kobar di dalam dewan. Tetapi apabila mereka pulang, nafsu kejahatan kembali menguasai diri. Mereka akan tetap meletakkan kepentingan diri, kroni dalam perjuangan melebihi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Lagipun, jika hanya ia seorang berubah sedang dilihatnya kawan-kawan di sekelilingnya tidak berubah, kerjaya politiknya tiada akan ke mana dan ia akan rugi jika tiada mengambil kesempatan bila ada peluang (untuk nafsu dan perut).
Saya sendiri melihat bagaimana satu syarikat Bumiputera yang hebat terpaksa gulung tikar akibat tiada dibayar hutang oleh manusia yang dilihat sebagai pejuang bangsa. Didalam TV wajahnya terpampang sebagai dermawan yang prihatin dengan golongan miskin, tetapi dibelakang tabir, dia adalah seorang yang kaya dengan penipuan jutaan ringgit terhadap sesama bangsa. Sebab itulah kadang-kadang saya tidak mampu menonton berita di TV kerana meluat melihat wajah-wajah para munafik yang tersenyum menunjukkan lakonan wajah mulia mereka di hadapan masyarakat!
Para pemimpin UMNO perlu kembali kepada pentarbiyyahan agama, bukannya sekadar asyik membakar semangat Melayu. Kebanyakan mereka sudah terbiasa dengan budaya penipuan, rasuah, makan harta yang haram dan sebagainya. Ia ibarat penyakit “SAKA” yang diwarisi dari satu generasi ke generasi, tiada sedikitpun rasa bersalah.
Tabiat ini dapat dilihat apabila mereka menubuhkan Parti Semangat 46 atau PKR kini. Mereka yang bermasalah kebanyakannya bekas ahli UMNO. Bukan senang untuk mereka meninggalkan tabiat mereka walaupun jiwa berkobar-kobar untuk memperjuangkan kebenaran.
AZAB BAGI MEREKA YANG TIADA AMANAH
Hanya agama yang dapat menyembuhkan penyakit ini. Apabila hati dihubung kembali pada Allah dan akhirat, ia akan melemahkan nafsu sehingga akhirnya nafsu dapat dikawal kembali. Jika para pemimpin UMNO tiada serius mendidik dirinya dan pengikutnya pada agama, saya tak yakin mereka akan dapat mengubah tabiat mereka walaupun beribu slogan yang mereka laungkan.
Ketika UMNO lemah, ramai para pemimpinnya sudah berkira-kira untuk berpindah parti. Tetapi apabila melihat ia kembali kuat dibawah pimpinan Dato’ Sri Najib, mereka kini melaung ikrar janji setia sampai ke titisan darah terakhir.
Sebenarnya mereka bersama UMNO bukan kerana prinsip perjuangan, tetapi lebih kepada kepentingan diri. Mereka lihat dengan kekuatan UMNO dibawah PM sekarang, mereka masih berpeluang untuk menyuburkan lagi nafsu keangkuhan, ketamakan dan sukakan sanjungan. Itulah hakikatnya walaupun saya tak nafikan ada di kalangan mereka yang ikhlas memperjuangkan agama dan bangsa.
“Takutlah wahai pemimpin kepada Allah. Sesungguhnya azab yang pedih menunggu para pemimpin yang tiada amanah. Kita semua akan ditanya tentang kepimpinan di hadapan Allah. Sedangkan para Nabi-Nabi a.s bergetar lutut mereka di Padang Mahsyar untuk menjawab soal kepimpinan, bagaimanakah kamu wahai para pemimpin yang banyak merompak harta rakyat demi keuntungan politik dan kekayaan dirimu? Bertaubatlah sebelum terlambat, sesungguhnya Allah amat mencintai hambaNya yang bertaubat dan membersihkan diri!”
"... Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (QS 38: 26)